LOS SANTOS LOVE STORY - " HATI YANG TERLUKA "
FOLLOW FACEBOOK PAGE
untuk Kandungan terkini.
*LANGGAN BLOG SECARA PERCUMA BUAT MASA INI DENGAN MENEKAN BUTANG 'LANGGAN' YANG BERADA DIATAS SEBELAH KANAN ANDA.
Setelah lima tahun di perantauan, Lai kembali ke tanahair. Terlalu banyak perubahan telah berlaku sepanjang ketiadaannya selama ini. Bumi Los Santos semakin bertahta di hatinya. Langkahnya lemah menuju ke balai berlepas. Pesawat yang dinaikinya tiba setengah jam lebih awal dari waktu yang telah dijadualkan.
"Lai", Lai menoleh ke arah suara yang melaungkan namanya. Bibirnya terukir senyuman. Wajah kakak serta keluarganya kini sudah di depan mata. Mereka saling bersalaman dan berpelukan.
"Abah dan Mak mana?" tanya Lai setelah menyedari ketiadaan dua insan yang teramat dirinduinya itu.
"Abah tak sihat sangat. Akak suruh mak dan abah tunggu kat rumah je. Jomlah," jawab Azlia, kakaknya.
Perjalanan pulang ke rumah begitu lambat Lai rasakan. Namun, melayani keletah anak saudaranya yang seramai dua orang itu sedikit sebanyak mengurangkan debarannya.
"Kali ni dah tak balik sana lagi, kan?" tanya Azlia. Lai hanya tersenyum.
"Insyaallah. Azman dan Azli buat apa sekarang, kak?"
"Azman dah tahun akhir di UITM. Dia sambung degree lepas habis diploma dulu. Azli sudah setahun di USM. Semua ada tunggu kat rumah. Dah macam orang nak buat kenduri kat rumah tu," cerita Azlia. Lai semakin tidak sabar untuk tiba ke rumah.
Sejam kemudian, mereka tiba di rumah. Suasana agak meriah seperti yang dikatakan oleh kakaknya. Azman memeluk tubuh kedua orang tuanya. Lima tahun di negara orang jauh dari keluarga cukup menginsafkan Lai. Selama ini dia kurang perihatin terhadap seisi keluarganya. Kini, setelah apa yang ditempuhi seorang diri selama lima tahun itu tidak akan diulanginya untuk peluang yang kini di depan mata.
LOS SANTOS Megamall agak sesak di hujung minggu ini. Lai sendirian menyusuri ruang legar pusat membeli-belah besar itu. Langkahnya dihalakan menuju ke butik pakaian kanak-kanak Strawberry.
"Abang Lai ," panggil seseorang. Lai menoleh ke belakang. Seorang gadis manis bertudung bersama seorang teman perempuannya berdiri di hadapannya. Lai tersenyum. Wajah manis itu tidak banyak berubah sepanjang lima tahun ini. Ayu dan bertambah cantik dengan penampilan bertudungnya ala gaya Mira Filzah, artis kesukaannya.
"Mia. Apa khabar?" balas Lai tenang. Tiada getaran dan debaran yang dilalui seperti lima tahun dulu. Sudah hilangkah segala rasa kasih sayang dan cinta di hatinya untuk gadis itu? Ke manakah hilangnya rindu dendam buat gadis itu selama ini?
"Alhamdulillah sihat. Bila abang balik sini?" tanya Mia sedikit teragak-agak.
"Dah lima hari abang balik. Hari ni baru keluar jalan-jalan. Mia buat apa sekarang ni?" jelas Lai
"Mia kerja di sandy shore. Kebetulan hari ni Mia cuti temankan kawan. Abang cuti lama ke?" sambut Mia.
"Tak. I'm back for good," jawab Lai pendek. Mia menoleh wajah temannya sebentar lalu mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya.
"Ni kad Mia. Kalau abang sudi, telefonlah Mia." Lai menyambut sekeping kad nama yang dihulurkan oleh Mia.
"Insya Allah."
"Mia pergi dulu. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam." Lai hanya memerhatikan Mia berlalu pergi sehingga hilang dari pandangannya. Lai tersenyum sendiri. Untuk apa dia sendiri tidak pasti. Gembira? Ya, dia gembira bertemu semula gadis yang disayanginya dulu walaupun terpaksa menerima tentangan hebat dari Abah dan keluarga Mia. Rintangan itulah yang telah membawanya jauh dari keluarga dan pulang dengan kebanggaan keluarga. Dia berjaya di atas hati yang telah dilukai.
Lai duduk di kerusi meja makan. Ayah Mia, Pakcik Taza masih berdiri bercekak pinggang. Lai jeling Abah yang sedang asyik menonton televisyen. Lai tahu Abah bukan tidak mahu mempertahankannya cuma Abah malas nak melayan karenah lelaki itu.
"Kau jangan kurang ajar dengan aku. Bapa kau tak ajar ke macamana nak hormat dengan orang tua. Kenapa kau tak jawap apa aku tanya?" sergah orang tua itu. Bulat matanya merenung Lai.
"Tadi pakcik juga yang cakap jangan cakap masa pakcik tengah cakap. Bila saya diam, pakcik marah pula. Saya memang tak hormatkan pakcik sebab pakcik sendiri memang tak pandai nak hormatkan orang. Datang menyerang rumah orang pukul dua belas malam, elok sangat ke?" balas Lai lembut. Dia tahu api jika di simbah dengan minyak akan semakin bersemarak amarahnya.
Pakcik Taza kembali duduk. Tahu pula letih berdiri lama sangat, bisik Lai di dalam hati. Dibiarkan saja orang tua itu membebel sendiri. Setelah puas meluahkan ketidakpuasan di hatinya, dia balik tanpa disuruh seperti mana dia datang tanpa diminta.
"Abah masuk tidur dulu," akhirnya Abah bersuara. Lai hanya merenungi wajah tenang Abah masuk ke biliknya. Lai bersandar di kerusi. Hampir dua tahun perkenalannya dengan gadis bernama Sharifah Mia Syazwana itu. Entah apa yang silapnya, ayah Mia seorang saja yang membantah perhubungan mereka. Ada saja yang tidak kena. Ini bukan kali pertama dia diserang oleh ayah Mia. Tidak kira siang dan malam.
Ugutan demi ugutan telah diterimanya. Namun, kerana kejujuran dan keikhlasan mereka masih meneruskan perhubungan dengan restu ibu Mia yang memahami keadaan mereka.
"Kau ada harta ke nak kahwin dengan anak aku? Kau ada rumah? Ada kereta? Boleh ke anak aku hidup senang kahwin dengan kau nanti?" kata-kata itu berbekas di hatinya sepanjang perhubungan mereka. Tapi, Lai tahu Mia bukan begitu. Mia tidak pernah meminta-minta sepanjang mereka berkawan.
Barangkali kerana tidak tahan dengan keadaan itu, Abah berhasrat untuk berpindah ke rumah kakak. Abah malu apabila orang tua itu menyerang mereka sekeluarga. Jiran-jiran ramai yang memasang telinga. Tapi, sebenarnya mereka mengambil sikap bersiap sedia. Mereka almaklum dengan sikap panas baran ayah Mia
Setahun berlalu lagi menjadikan perhubungan itu bertambah usia. Mia sudah melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej di Bandar Los Santos. Mia mula menegur kerjayanya sebagai penyelia restoran ekslusif di sebuah hotel. Lai turutkan juga tapi memerlukan masa untuk bertukar ke bidang lain.
Panas tidak selamanya ke petang. Turun hujan di tengahari menghancurkan segalanya. Permintaan Mia supaya datang ke Los santos ditunaikan demi orang yang disayangi. Diredah juga kerana Mia walaupun di bulan puasa.
"Mia minta maaf. Mia tahu Mia akan melukakan hati abang tapi Mia tak boleh tipu diri Mia sendiri," luah Mia tenang ditemani seorang kawan perempuannya dan seorang lelaki. Lai hanya memandang muka Mia.
"Apa maksud Mia?" soalnya pendek. Hilang rasa rindu di hati. Sedikit curiga mengambil tempat. Mia menoleh ke wajah lelaki di sisinya. Lai turut mengalihkan pandangan ke wajah lelaki di hadapannya.
"Mia nak putuskan perhubungan kita. Mia dah jumpa orang lain," terangnya.Lai hanya tersenyum sinis menyindir dirinya sendiri. Perkara yang paling ditakutinya sudah pun berlaku. Patutlah beria-ria menyuruhnya datang ke sini sekadar ingin memberitahu berita duka ini.
"Mia pasti?" tanya Lai cuba menduga. Mia mengangguk perlahan lalu menundukkan kepalanya. Diserahkan sebuah kotak kepada Lai.
"Mia minta maaf," ujar Mia seperti menahan sendu lalu meninggalkan Lai sendirian tanpa sebarang pamitan. Lai terkedu sendiri. Bermimpikah dia di siang hari ini? Di bulan Ramadhan yang mulia ini. Lai tenung kotak berwarna kuning itu lama. Dibukanya perlahan. Semuanya barang yang pernah diberikan kepada Mia dahulu telah kembalikan semula kepadanya. Lai kembali menutup kotak tersebut lalu beredar menuju ke perhentian bas.Hilang seleranya untuk menikmati juadah berbuka puasa. Hilang kegembiraan di hatinya untuk berbuka puasa bersama-sama. Setelah membeli tiket pulang ke Paleto Bay Lai singgah di restoran makanan segera yang berdekatan sementara menantikan waktu bas akan bertolak. Episod cintanya dengan Mia telah berakhir. Hatinya telah dilukai.
Lai tiba di rumah tepat jam dua pagi. Abah dan Azman sedang menonton televisyen siaran bola. Lai terus kebilik lalu mencapai tuala dan masuk ke bilik air. Abah hanya melihat. Balik selewat itu adalah perkara biasa pada Abah. Tiada peliknya.
"Lai! Lai!" Terdengar namanya di laung lantang dari luar. Lai keluar dari bilik air setelah mandi. Kelihatan ayah Mia berdiri bercekak pinggang di muka pintu.
"Mana telefon Mia? Kenapa ambik telefon tu dari dia? Kau ni tak habis-habis nak kacau anak aku," marahnya.
"Pakcik, telefon tu Mia pulangkan balik pada saya sebab saya yang belikan. Lepas ni saya tak kacau anak pakcik dah. Kami dah putus. Itu yang pakcik nak, kan? Sekarang, pakcik jangan kacau kami sekeluarga lagi," jelas Lai tenang. Pakcik Taza semakin bengis.
"Anak kurang ajar!" tengkingnya kuat. Lai hanya tersenyum sinis.
"Pakcik pergilah balik. Bersahur dengan keluarga pakcik. Kami pun nak bersahur ni," lembut Lai cuba memohon pengertian ayah Mia. Kepalanya makin berat dengan pemasalahan yang entah bila akan berakhir. Kerananya seorang, seluruh ahli keluarganya yang lain terpaksa turut terlibat sama.Dengan dengusan kasar, akhirnya Pakcik Taza berlalu pergi. Lai tahu di hati orang tua itu masih belum terpadam rasa dendam dan amarah.
"Lai dari mana tadi ni?" Lai menoleh apabila mendengar suara Emak bertanya. Barangkali gangguan dari ayah Mia tadi telah mengejutkan emaknya dari tidur.
"Dari bandar Jumpa Mia. Kami dah putus. Dia dah pulangkan semua barang pada Lai tadi. Dia dah ada orang lain," padat dan ringkas keterangan yang Lai berikan.
"Dari awal Abah dah cakap. Tak ke mana hubungan tu kalau ayah dia terus macam ni. Tak habis-habis nak menyerang. Malu pada jiran-jiran sini. Abah baru datang sekejap dah kena serang macam ni. Masa Abah tak ada, agaknya selalu pula dia datang menyerang," tanpa diduga Lai, Abah bersuara.
"Sudahlah tu. Tak yah nak mengungkit. Yang lepas tu biar jadi pengajaran. Mulai hari ini, buka azam baru. Bina hidup baru. Ramai lagi kat luar sana yang lebih baik dari yang kita pernah ada. Mak pun tak berkenan nak berbesan dengan orang yang macam tak ada agama macam tu. Belum kahwin lagi dah suka menyerang, esok kalau dah kahwin lagi senang nak menyerang," nasihat Emak. Suasana tiba-tiba menjadi kelam dan sepi. Hanya kedengaran suara dari kaca televisyen.
"Lai ingat nak berhenti kerjalah, Mak, Abah," tiba-tiba Lai bersuara. Kakaknya yang baru bangun dari tidur termangu di kerusi meja makan.
"Kenapa nak berhenti kerja pula? Sekarangkan susah nak cari kerja," sampuk kakaknya yang baru saja dikhabarkan berita apa yang telah berlaku sebentar tadi.
"Lai nak kerja dengan kawan Lai. Dia ada offer kerja dengan dia dekat Itali. Kalau Abah dan Mak izinkan, Lai nak pergi hujung tahun ni," jelasnya.
"Buatlah apa yang terbaik. Asalkan Lai gembira," sambut Abah tanpa Lai duga. Selama ini Abah jarang memberi pendapat ataupun kata-kata yang memberansangkan dengan setiap apa yang dilakukannya.
"Terima kasih, Abah." Keizinan dari Abah dan Emak lebih memberi makna padanya setelah apa yang berlaku. Lai bertekad untuk membuktikan kata-kata ayah Mia salah. Perginya untuk mencari apa yang tidak dimilikinya.
Sehari sebelum pemergiannya, Mia datang berjumpa dengannya. Wajah ayu itu sembab dihiasi air mata yang mengalir membasahi pipi.
"Abang betul-betul nak tinggalkan Mia? Abang tak kesiankan Mia?," tanyanya sayu dan sebak. Lai hanya tersenyum. Teringat sejenak bagaimana Mia sengaja singgah di tempat kerjanya untuk menayangkan kekasih barunya setelah dibawa lelaki itu berjumpa dengan keluarganya.
"Abang nak cari pengalaman di tempat orang. Mia kan dah ada dia. Tak elok kalau dia tahu Mia jumpa abang macam ni. Nanti dia pikir abang nak larikan kekasih dia pula. Cukuplah ayah Mia kata abang macam-macam," Lai cuba bergurau menahan gelora di jiwanya.
"Tapi, Mia sayangkan abang," rayunya lagi.
"Mia, abang selalu pesan pada Mia. Walau apa pun yang berlaku, hidup harus diteruskan. Abang tak mau Mia bersedih macam ni," pujuk Lai.
"Mia minta maaf. Mia tak bermaksud nak bertindak macam tu. Mia tahu Mia tipu diri Mia dan abang tapi Mia keliru," luahnya. Berkerut dahi Lai mendengar kata-kata Mia.
"Apa maksud Mia? Abang tak faham."
"Mia minta maaf. Mia tak berniat nak lukakan hati abang. Mia keliru. Sebenarnya Mia cuma nak mainkan perasaan abang. Mia nak tengok sejauh mana kesungguhan abang pada Mia. Tapi, Mia tak sangka abang betul-betul turutkan kehendak Mia. Sudahnya Mia yang merana," jelasnya. Lai mengeluh perlahan. Kesal.
"Abang faham keadaan Mia cuma abang tak sangka Mia bertindak sampai begitu sekali. Abang maafkan Mia tapi abang tak mampu nak buat apa lagi. Esok abang akan berangkat. Apa yang abang nak, Mia ingat pesan abang. Belajar bersungguh-sungguh. Walau apa pun yang ayah Mia lakukan, jangan sekali-kali lukakan hati dia. Macamana teruk pun dia, dia tetap ayah kandung Mia. Wali yang sah. Abang akan doakan semoga Mia panjang umur dan bahagia di samping dia," pesan Lai tenang walaupun hatinya bagaikan dipagut dengan parang.
"Mia akan tunggu abang balik," janjinya.
"Jangan, Mia. Jangan rosakkan masa depan Mia sebab nak tunggu abang. Abang sendiri tak pasti selama mana abang akan duduk di sana. Kita masing-masing ada tanggungjawab pada keluarga. Tunaikan kewajipan Mia sebagai anak. Insya Allah kalau ada jodoh kita jumpa lagi tapi abang nak Mia jangan terlalu mengharap. Kelak, ada di antara kita yang akan merana." Mia menundukkan kepalanya. Lai tahu Mia menangis tapi lebih baik melukai hati Mia sekarang dari beberapa tahun yang belum pasti.
"Mia doakan abang selamat pergi dan selamat kembali," ucapnya lalu meninggalkan Mia sedirian di taman perumahan mereka. Itulah kali terakhir dia menemui Mia. Selepas itu, dia berangkat ke Itali dengan diiringi doa dan restu keluarga tercinta.
"Assalamualaikum", Lai menoleh perlahan. Ceria wajahnya melihat wajah manis ayu bertudung berdiri di hadapannya.
"Waalaikumsalam", Lai menjemputnya duduk.
"Maaf, terlambat sikit. Bos buat short briefing tadi. Dah lama tunggu ke?" tanya si gadis penuh sopan. Lai hanya tersenyum panjang memandang wajah yang tidak pernah menjemukannya itu. Debaran di dadanya tidak pernah hilang rupanya selama lima tahun ini. Alhamdulillah. Inilah berkat kejujuran dan keikhlasan sebenarnya.
"Abang tak pernah bosan kalau tunggu Mia. Lima tahun abang boleh tunggu takanlah setengah jam abang tak boleh tunggu. So, Mia nak makan apa? Spagetti lagi ke?" usik Lai bahagia. Mia tersenyum.
"Abang tahu kan Mia suka makan apa. Mia tak payah cakap pun abang patutnya dah tahu," balas Mia, Lai melambai tangannya memanggil pelayan untuk mengambil pesanan.
"Dua spagetti ayam dan dua air strawberi mirinda", Lai memberi pesanan. Pelayan berlalu meninggalkan mereka.
"Ayah dan Mak sihat?" tanya Lai cuba mengembalikan kemesraan setelah lama tidak bertentang mata.
"Alhamdulillah, sihat. Lepas operation bulan lepas, Ayah dah boleh jalan sikit-sikit. Mak pun dah mula berpencen bulan lepas. Mereka tanya bila abang nak datang rumah? Ayah dah lama tak jumpa abang."
"Insya Allah. Kali ini abang datang bawa keluarga abang, boleh?"
"Apa pula tak bolehnya? Ajak satu kampung pun tak apa," balas Mia cuba menyakatku pula.
"Insya Allah, kalau tak ada apa-apa hujung minggu ni abang sampai rumah Mia bersama angkatan rombongan dari kampung abang," Lai membalas usikan.
"Abang Lai", mereka berdua menoleh apabila nama Lai dipanggil. Wajah Lai tenang.
"Mia! Seorang saja ke?" tegur Lai tanpa sebarang riak terkejut. Mia hanya mengangguk.
"Kenalkan, bakal tunang abang, Mell Mia. Ini kawan lama abang, Sharifah Mia Syazwana. Kebetulan pula, dua-dua nama Mia", perkenal Lai.Mereka bersalaman. Ternyata wajah Sharifah Mia Syazwana sedikit terkejut berbanding Mell Mia yang tersenyum manis.
"Jemputlah duduk," Mell Mia menjemput. Sharifah Mia Syazwana hanya menggeleng kepala.
"Tak apalah. Mia nak cepat. Ternampak abang kat sini tadi, saja tegur. Mia balik dulu. Assalamualaikum," pintanya lalu bersalaman dengan Mia di hadapannya sebelum beredar begitu saja.
"Patutlah abang bawa diri sampai ke Itali," luah Mell Mia tenang dalam senyuman.
"Kenapa pula?" sambut Lai kurang senang. Tiada riak cemburu pada wajah gadis kesayangan di hadapannya.
"Yelah, lawa orangnya. Abang tak menyesal ke tinggalkan dia dulu?" usik Mia ingin menduga.
"Correction! Dia yang tinggalkan abang dulu. Tak dapat Mia dulu Mia sekarang pun apa kurangnya," balas Lai selamba. Mell Mia hanya tersenyum. Dia tahu di hati Lai telah hilang kasih untuk Sharifah Mia Syazwana semenjak lima tahun dahulu.
KOLEKSI CERPEN TERBAIK HANYA DI
idea dh mntap..prkemaskan teknik story line & pelbagaikan kosa kata..mgkin akan lebih menarik bro
ReplyDeleteterima kasih di atas pandangan anda.
Delete